KUALA NERUS, 30 DIS : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menjangkakan senarai pengimport daging yang diberikan lesen untuk memasarkan daging halal di negara ini akan dikeluarkan dalam tempoh seminggu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata bagaimanapun pihaknya mungkin terpaksa mengambil lebih masa kerana perbincangan lanjut bersama pihak lain masih dijalankan.

“Insya-Allah mungkin dalam masa terdekat (senarai itu akan dikeluarkan) kerana yang itu bukan daripada kami, tetapi kami akan berurusan dengan (pihak) yang lain juga yang ada senarai.

“Saya fikir lampiran itu mungkin boleh dikeluarkan dalam masa yang memang cepat. Tidak ada masalah apa-apa,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu Zulkifli berkata senarai pengimport yang akan dikeluarkan itu bertujuan mengurangkan kebimbangan orang ramai berhubung isu daging halal di pasaran.

Sebelum ini, media melaporkan taktik kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari luar negara sebelum membuat pembungkusan semula menggunakan logo halal palsu dan menjualnya di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, pihaknya akan terus berkolaborasi dengan semua pihak yang berkaitan bagi memastikan masyarakat mendapat produk daging import yang terjamin 100 peratus halal. – AWANI