TEMERLOH: Sepucuk pistol, pump gun dan lebih 100 butir peluru ditemui di lokasi kemalangan membabitkan empat kenderaan yang meragut dua nyawa di Kilometer 132.4 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Kuala Lumpur, di sini, malam tadi.

Siasatan polis di tempat kejadian menemukan sepucuk pistol Smith & Wesson Compact, pump gun bersama dua peluru di dalamnya, 23 butir peluru jenis Rimba 12 Bore warna biru, 35 butir peluru Mega 12 Bore warna hijau, peluru Buck Shot 12 Bore, dan dua kotak peluru 9mm Br.c S&B mengandungi 88 butir peluru.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang, Superintendan Kamarulzaman Jusoh, berkata siasatan awal mendapati senjata dan peluru berkenaan dipercayai milik seorang daripada mangsa terkorban dalam kemalangan itu.

Beliau berkata, dalam nahas jam 8.30 malam, Low Kim Boon, 65, dan Nur Rashila Rosdan, 22, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan akibat tercampak dari kenderaan masing-masing.

“Kesemua senjata dan peluru terbabit dipercayai milik Kim Boon yang difahamkan adalah seorang ahli perniagaan.

“Kes diserahkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu dalam satu kenyataan media pagi tadi, Kamarulzaman berkata, siasatan awal mendapati Perodua Myvi dipandu Nur Rashila di lorong kanan dari arah Kuantan menuju ke Temerloh, melanggar bahagian belakang sebuah lori membawa muatan plastik di lorong kiri.

Katanya, kereta berkenaan kemudian dirempuh Toyota FJ Cruiser dipandu Kim Boon dari arah belakang menyebabkan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu tercampak ke laluan bertentangan sebelum terjatuh ke dalam gaung.

“Myvi berkenaan kemudian turut dilanggar Proton Iswara yang datang dari arah Kuantan.

“Berdasarkan siasatan serta keterangan saksi, kita percaya punca kemalangan ialah Nur Rashila yang bekerja sebagai pelukis pelan, memandu dalam keadaan mengantuk sebelum melanggar bahagian belakang lori,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, kedua-dua pemandu lori terbabit, Che Sharif Saad, 43, dan Proton Iswara, Sheikh Mohd Haniff Sheikh Hashim, 61, tidak mengalami kecederaan.

Kamarulzaman berkata, siasatan di lokasi kejadian juga mendapati tempat kemalangan tiada lampu jalan, manakala keadaan jalan raya kering.

Katanya, mayat mangsa yang maut dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah untuk bedah siasat, dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 – berita harian