PETALING JAYA – Seorang lagi ahli kumpulan Alif & The Locos, Efry Arwis yang mengiringi persembahan Alif Satar pada Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) disahkan positif Covid-19.

Berita duka tersebut dikongsi Efry, 34, dalam satu hantaran Instagramnya awal pagi ini dengan memuat naik foto dia memakai pakaian hospital.

Efry yang merupakan pemain basis kumpulan Alif & The Locos itu disahkan positif Covid-19 selepas melakukan ujian calitan kedua di Klinik Kesihatan Kelana Jaya pada 25 November lalu.

“Ujian saringan pertama saya disahkan negatif tetapi menurut Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, ujian tersebut terlalu awal dan perlu dilakukan sekali lagi.

“Maka keputusan ujian kedua iaitu pada hari ini (semalam) ialah positif,” katanya.

Efry yang kini dirawat dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh, memaklumkan tidak mengalami sebarang simptom walaupun dijangkiti virus maut tersebut.

“Saya tidak mengalami sebarang gejala, tiada batuk atau selesema, malah selera makan juga seperti selalu.

“Sehingga hari ini, saya telah beri senarai nama-nama kontak rapat kepada pihak hospital. Saya minta maaf sekiranya membabitkan mana-mana pihak,” ujarnya.

Dalam pada itu, suami kepada penyanyi Diandra Arjunaidi itu turut memohon doa daripada pengikutnya agar ibu, isteri dan anaknya dijauhkan daripada dijangkiti wabak tersebut.

Sementara itu Diandra dalam satu perkongsian memberitahu dia bersama anaknya, Ava Leia kini berada di rumah menjalani kuarantin kendiri.

“Saya kini berada di kuarantin di rumah, harap semua dapat mendoakan Efry dan semoga saya dan Ava tidak dijangkiti virus ini,” katanya.

Kosmo! pada 22 November lalu melaporkan penyanyi, pengacara dan pelakon Alif Satar disahkan positif Covid-19.

Tidak lama kemudian, Rajwan iaitu pemain dram kumpulan Alif & The Locos turut sah dijangkiti Covid-19 pada 25 November lalu.

Terdahulu, Alif & The Locos membuat persembahan dalam episod pertama SFMM35 pada 19 November lalu.

Selain Efry dan Rajwan, The Locos turut Falif Auri bermain seruling dan saksofon serta TamConain (gitar). – K! ONLINE