GUNONG SEMANGGOL – Hajat seorang pekerja swasta pulang ke rumah di Jalan Gula, Simpat Empat Semanggol di sini terbantut apabila dia maut dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta pelbagai guna(MPV) dan van di Jalan Kerian, Simpang Empat Semanggol, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7.37 pagi, R Jeevan,22, dari Taman Sri Selinsing, di sini maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

Selain itu, dua lagi mangsa dari kenderaan berasingan, Zaidi Baharuddin,48, dan Zaiti Akhtar Mat Said,46, juga dari Jalan Gula, di sini difahamkan mengalami kecederaan parah setelah tersepit pada kenderaan dinaiki dan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut.

Bapa mangsa, G Renu,44, berkata, sebelum kejadian berlaku, mangsa meninggal dunia yang merupakan anak sulungnya dalam perjalanan dari rumah sewa di Batu 10, Semanggol ke rumah keluarga di Jalan Gula, di sini.

Menurutnya, dia dimaklumkan anaknya baru selesai menemui rakan di rumah sewa sebelum bergegas pulang ke rumah keluarga untuk pergi ke tempat kerja di Taiping.

“Lebih kurang jam 7.45 pagi, saya dimaklumkan mendiang terlibat kemalangan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Mangsa difahamkan memandu bersendirian dengan menaiki van jenis Ford Econovan sebelum bertembung dengan sebuah MPV jenis Toyota Innova di lokasi kejadian,”katanya sewaktu ditemui di bilik forensik Hospital Parit Buntar, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai, Rodzi Che’pa dalam kenyataan media memaklumkan setibanya di lokasi kejadian, pihaknya mendapati ada dua mangsa tersepit di dalam kenderaan MPV terbabit kemalangan.

Menurutya, anggota bomba bertindak mengeluarkan mangsa tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan ambulans untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob sewaktu ditemui mengesahkan kejadian dan menegaskan kes masih dalam siasatan – sinar