BATU PAHAT: Seorang wanita maut selepas terbabit dalam nahas membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah bas di Kilometer 123.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah Yong Peng ke Pagoh, jam 9.30 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Abdul Wahib Musa, berkata mangsa Lim Siew Peng, 33, mati di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk akibat kemalangan itu.

Beliau berkata, kemalangan terjadi apabila kereta Proton Wira dipandu mangsa melanggar besi pembahagi sebelum terbabas ke tengah jalan lalu dirempuh kenderaan lain dari belakang.

“Sebuah bas tidak dapat mengelak ke kiri, dan terlanggar kereta mangsa. Pada masa yang sama, sebuah BMW merempuh kereta mangsa disusuli Perodua Myvi dan Toyota Camry. Bagaimanapun, pemandu kenderaan lain tidak cedera.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu jam 10.13 malam dan sebuah jentera disertai lapan anggota termasuk seorang pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng bergegas ke tempat kejadian – berita harian