SUNGAI SIPUT (U) – Seorang pekerja kilang maut manakala seorang pemandu bas putus jari kelengkeng dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dan kereta di Kilometer 41.8, Jalan Ipoh-Kuala Kangsar.

Pemandu kereta jenis Perodua Myvi, Mohd Farhan Razali, 24, maut di tempat kejadian akibat tersepit dalam keretanya yang remuk teruk.

Pertembungan kedua-dua kenderaan itu turut menyebabkan pemandu bas, Abdul Samat Abu Hashim, 55, putus jari kelengkeng.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superitendan Abd Fattah Abd Rahman mengesahkan laporan kejadian ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati pemandu kereta Perodua Myvi yang datang dari Ipoh hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.

“Bas yang berada di laluan sebelah tidak sempat mengelak lalu berlaku pertembungan. Akibatnya, kedua-dua kenderaan remuk teruk di bahagian hadapan.

“Pegawai perubatan kemudian mengesahkan seorang mangsa maut di tempat kejadian dan memberi rawatan kepada mangsa lain,” katanya.

Tambah beliau, siasatan kes tersebut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-SinarHarian