KUALA TERENGGANU: Seorang penyelia stor Ladang Ketengah Perwira dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas kesalahan menerima rasuah RM750 daripada pembekal barangan alat ganti serta baja.

Tertuduh, Zamri Jusoh, 56, turut berdepan hukuman penjara setahun lagi sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah RM750 daripada pemilik Syarikat TP Parts & Machinery, Tham Mun Hing, melalui akaun bank milik isterinya, Siti Noor Hiddayah Deraman, sebagai upah selepas membuat perakuan terhadap beberapa dokumen pembekalan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Ladang Ketengah Perwira Sdn Bhd, Kemaman, pada 13 Mei 2015.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh, manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad – berita harian