KIEV, Ukraine: Jaringan pemain gantian Viktor Tsygankov membolehkan Ukraine mengejutkan Sepanyol 1-0 dalam pertembungan Liga Negara-Negara di Kiev.

Pemain 22 tahun Dynamo Kiev itu tidak mengambil masa lama selepas dimasukkan pengendali Andriy Shevchenko untuk memanfaatkan hantaran Andriy Yarmolenko dan menewaskan David de Gea pada minit ke-76.

Ia adalah keputusan mengejutkan selepas Sepanyol – yang belum pernah tewas sejak November 2018 – menang 4-0 ketika mereka bertemu di Madrid bulan lalu, dan Ukraine kini hanya satu mata di belakang skuad kendalian Luis Enrique dalam Liga A, Kumpulan 4.

Dengan baki dua perlawanan akan berlangsung pada November, Sepanyol masih mendahului kumpulan pada tujuh mata, satu mata di depan Jerman dan Ukraine, manakal Switzerland yang belum merakam kemenangan di tangga terakhir pada dua mata.

Kekalahan itu pastinya mengecewakan Sepanyol yang kembali ke stadium di mana mereka menewaskan Itali 4-0 pada final Euro 2012, dan Sepanyol hanya berjaya meledak satu gol dalam tiga aksi di tempat lawan bulan ini.

De Gea yang sering dikritik persembahannya ketika bersama Manchester United, turut berdepan perkara sama di gawang Sepanyol.

Pertemuan dengan Jerman di laman sendiri bulan depan akan menentukan siapa yang akan mara ke final empat pasukan. – AFP

Pemain Ukraine, Andriv Yarmolenko (tengah) mengatasi 2 pemain Sepanyol pada aksi perlawanan Kumpulan 4, Liga Negara-Negara, awal pagi tadi. - Foto EPA