IPOH: Menteri Besar Perak, YAB Ahmad Faizal Azumu mengarahkan semua agensi yang terlibat membuat serbuan di Pondok Kadir Al Jaafar, Gua Tempurung, Gopeng supaya memberi laporan lengkap kepada beliau, segera.

YAB Ahmad Faizal berkata, beliau baru dengar mengenai perkara itu hari ini dan beliau mahu tahu apa perkara yang sebenarnya-benarnya berlaku terlebih dahulu sebelum memberi komen tambahan

“Namun, saya pelik kenapa perkara ini boleh berlaku, daripada maklumat yang saya terima ataupun cerita-cerita yang sedang viral di sosial media tu, agak pelik lah bagaimana serbuan itu boleh dibuat dengan cara sedemikian.

“Tetapi sebelum ini, beri saya siasat sedalam-dalamnya dulu, saya akan membuat kenyataan akhbar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Jamuan Hari Raya Lembaga Air Perak (LAP) di Casuarina@Meru di sini, hari ini.

Hadir sama barisan exco kerajaan negeri Perak dan Pengurus Besar LAP, Datuk Ir Mohd Yusuf Mohd Isa.

Beliau diminta mengulas isu yang viral di media sosial mengenai tindakan serbuan ke atas pondok itu yang dikatakan dilakukan penguatkuasa dari pelbagai agensi kerajaan seperti Pejabat Tanah Kampar, Jabatan Agama Islam Perak, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan polis, malam tadi.

Ditanya mengenai pondok itu dikatakan beroperasi bukan di tanah milik mereka, YAB Ahmad Faizal berkata, masalah itu memang telah jelas dan nyata.

“Dalam masa yang sama, kalau benarlah serbuan dibuat, kemudian buat pemeriksaan urin dengan pelajar-pelajar tu dalam waktu mereka sedang dalam kuliah dan sebagainya, I think that’s a bit too much,” ujarnya.

Bagaimanapun, dalam masa sama, beliau perlu mengetahui terlebih dahulu kenapakah agensi itu melakukan tindakan sedemikian.

“Apakah ada aduan, apakah mereka ada maklumat lain yang kita tak tahu. Jadi, let’s not jump into conclusion, benarkan saya untuk mendapatkan maklumat tambahan sebelum dapat bagi penerangan lanjut,” tambahnya.

1/10