SERI ISKANDAR: Sebuah hotel di Seri Iskandar secara rasmi tidak lagi menjadi lokasi kuarantin Covid-19 dan menerima penempatan pesakit dalam pemantauan (PUS).
Menurut Pengerusi Persatuan Usahawan Muslim Seri Iskandar (PAKSI), Zulhamzi Mokhtar, PUS terakhir yang akan mendaftar keluar dari hotel ialah pada 30 Ogos ini.
“Untuk makluman bantahan telahpun dibuat melalui surat rasmi dan kenyataan di beberapa akhbar tempatan sejak 10 Ogos lalu.
“Surat tersebut telah ditunjukkan sekaligus diserahkan salinannya kepada Pengerusi PAKSI ( Persatuan Usawahan Muslim Seri Iskandar ) dan wakil yang turut sama hadir selaku persatuan yang telah menyuarakan bantahan serta pendirian masyarakat, golongan peniaga atas isu ini.
“Wakil dari pihak hotel telah menunjukkan surat rasmi penarikan dari terus dijadikan sebagai lokasi kuarantin COVID-19 di Seri Iskandar.
“Dengan ini Seri Iskandar bebas pusat kuarantin Covid-19, semoga dengan makluman ini dapat melenyapkan sentimen masyarakat terhadap Seri Iskandar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan PAKSI meminta pihak berkaitan mempertimbangkan semula keputusan menjadikan sebuah hotel di Seri Iskandar sebagai pusat kuarantin bagi individu yang baharu pulang dar luar negara.
Susulan itu satu memorandum bantahan dikemukakan bagi menyatakan kebimbangan tindakan itu yang akan menjejaskan perniagaan usahawan di kawasan Seri Iskandar.
Zulhamzi dipetik sebagai berkata, sebarang keputusan mengenai lokasi pusat kuarantin perlu mengambil kira kesesuaian dan implikasi setempat sebelum pewartaan dibuat agar tidak menjejaskan ekonomi serta mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat.