BALING: Sebanyak 67 keluarga membabitkan 300 penduduk di enam buah kampung di Mukim Pulai dan Bongor/Baling dilanda banjir kilat akibat hujan lebat selama empat jam sejak petang semalam.

Antara yang terbabit adalah Kampung Masjid Lama Batu 48 (6), Banggol Derom (5) Tanjung Merbau (30), Charok Sikin (15), Sungai Limau (1) dan Kampung Jalan Lama Batu 42 (10).

Seorang penduduk, Norhafizah Jusuh, 40, dari Kampung Jalan Lama Batu 42, berkata, hujan lebat selama empat jam menyebabkan rumahnya dinaiki air sedalam 0.3 meter.

Katanya, ketika itu dia baru selesai berbuka puasa sebelum menyedari air dari parit belakang rumah mula masuk ke dalam rumah.

“Mujur sempat berbuka puasa walaupun dalam keadaan tidak selesa kerana air masuk dengan cepat.

“Ini kali kedua banjir berlaku di kawasan ini yang berpunca daripada sistem perparitan tidak terurus,” katanya.

Penghulu Mukim Pulai, Badrol Hisham Che Li berkata, pihaknya sudah membuat laporan mengenai masalah perparitan tidak terurus kepada pihak berkenaan sejak banjir kali pertama melanda Aidiladha tahun lalu.

Beliau berkata, Pejabat Daerah Baling sudah memanjangkan permohonan ke pihak atasan untuk mendapat peruntukan bagi menyelesaikan masalah yang berlaku di kampung itu.

“Kita sudah memanjangkan permohonan kepada pihak atasan dan belum lagi mendapat perhatian,” katanya yang turut meninjau kawasan banjir di sini, pagi ini.

Sementara itu, Setiausaha Sekretariat Pengurusan Bencana Daerah Baling, Leftenam (PA), Mohd Faizol Ab Aziz berkata, hujan lebat sejak petang semalam menyebabkan rumah penduduk yang tinggal di kawasan rendah dan berdekatan Sungai Ketil mudah dilimpahi air sedalam 0.5 meter.

Beliau yang juga Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berkata, air mula naik jam 8 malam di beberapa kampung dan ia berlarutan hingga tengah malam tadi.

“Anggota APM dikerah membuat pemantauan malam tadi bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat.

“Selain APM, Pejabat Daerah Baling dan Jabatan Kebajikan Masyarakat ( JKM) turut membantu bagi membantu mangsa terbabit,” katanya.

Mohd Faizol berkata, ini kali ketiga dalam tempoh seminggu beberapa buah kampung dilanda banjir dan paling teruk dan membabitkan keluarga yang ramai.

“Bagaimanapun tidak ada mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan kerana air mulai surut tetapi anggota penyelamat masih memantau ekoran cuaca masih gelap dan bimbang akan berlaku banjir.

“Cuaca yang tidak menentu setiap petang menyebabkan anggota penyelamat bersiap sedia bagi menghadapi kemungkinan bencana yang berlaku,” katanya.

Beliau turut menasihat penduduk yang tinggal di kawasan rendah berjaga-jaga dan berpindah ke tempat selamat sekiranya air masuk ke rumah mereka – berita harian