KUALA LUMPUR: Seorang lelaki menanggung kesakitan hampir setengah jam selepas kereta dinaiki terbabas sebelum terbalik dan menghempap tangannya dalam kemalangan di Jalan Batang Kali, Hulu Selangor, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.50 pagi itu, kereta dipandu lelaki berusia 54 tahun terbabas ke tebing jalan sebelum terbalik.

Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor Mohd Rizal Buang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 4.56 pagi sebelum satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi terdapat seorang mangsa di dalam kenderaan dan tersepit.

“Anggota bomba bertindak mengalihkan kenderaan kerana kereta mangsa menghempap tangan kanannya,” katanya.

Mohd Rizal berkata, anggota bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengalihkan kereta yang terbalik.

“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Kubu Baru untuk menerima rawatan lanjut.

“Mangsa kini dalam keadaan stabil selepas menerima rawatan dari pihak hospital,” katanya – berita harian