KUALA LUMPUR: Chew Mei Fun meletakkan jawatan sebagai setiausaha agung MCA pada 13 Julai lalu, kata Presiden MCA, Wee Ka Siong.

Beliau berkata Chew meletakkan jawatan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Peking di China.

“Bagi pihak jawatankuasa pusat dan semua ahli, saya mesti mengucapkan terima kasih kepada Mei Fun kerana perkhidmatannya kepada parti selama lapan bulan yang lalu,” katanya.

Wee berkata Chew berusaha memulihkan MCA berikutan kekalahan parti itu pada pilihan raya umum lalu.

“Setelah menerima peletakan jawatannya dengan hati yang berat, kami harap kejayaannya dalam akademik dan akan menunggu kepulangannya untuk berkhidmat kepada parti dan negara,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Chew berkata beliau telah memutuskan untuk melanjutkan pengajian sebelum pelantikannya sebagai setiausaha agung MCA.

Beliau menambah Wee juga telah bersetuju bahawa pelantikannya hanya untuk sementara waktu.