IPOH – Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan disahkan menjadi calon untuk kerusi parlimen Parit Buntar atas tiket Barisan Nasional (BN).

Pencalonan beliau diumumkan sendiri oleh Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam majlis pengumuman calon yang diadakan di sini, hari ini.

Abdul Puhat ketika ditemui berkata, beliau yakin dengan peluangnya untuk merampas semula kerusi parlimen terbabit yang kini disandang oleh Mujahid Yusof Rawa dari Amanah.

“Saya yakin dengna pengalaman saya yang pernah berkhidmat di sana sebagai pegawai daerah dan juga Yang Dipertua Majlis Daerah dari 2004 hingga 2007 akan membantu memahami kehendak rakyat.

“Saya juga merupakan anak kelahiran tempatan iaitu di Tanjung Piandang, bersekolah rendah serta menengah juga di sana, insyallah kebanyakan isu serta permasalahan mereka saya sudah fahami, jadi saya yakin dengan peluang yang ada,” katanya ketika ditemui.

Tambah beliau, antara masalah yang membelenggu pengundi-pengundi di parlimen itu adalah berkenaan sawah padi serta nelayan-nelayan darat.

“Ada beberapa isu utama di daerah Kerian, pertamanya kadar pengeluaran padinya yang rendah berbabnding tempat-tempat lain serta nelayan pantai, terdapat pelbagai ruang yang kita boleh lakukan untuk menyelesaikan masalah itu.

Dalam pada itu, Abdul Puhat turut menzahirkan penghargaan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan juga Menteri Besar kerana memberi peluang kepada beliau untuk mewakili parti itu pada PRU-14.

“Terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk mewakili BN untuk parlimen Parit Buntar, insyaallah saya akan cuba yang terbaik,” ujarnya.

Beliau dijangkakan akan bertembung dengan Mujahid Yusof Rawa dan seorang lagi wakil dari Pakatan Harapan pada PRU-14 nanti.

BERITA BERKENAAN : Dr Zambry Pertahan DUN Pangkor, Dicalonkan Bagi Parlimen Lumut