KOTA KINABALU: Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menolak permohonan semakan kehakiman bagi menghalang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertanding atau mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Hakim Azhahari Ramli mengetepikan permohonan semakan itu kerana ia didapati remeh dan tidak berasas.

Azhahari turut memerintahkan pemohon membayar RM10,000 kepada Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang dinamakan sebagai responden pertama dan kedua dalam permohonan itu.

Pada 17 April lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) UMNO Semporna, Datuk Mohd Ainal Fattah, melalui peguam Marcel Jude memfailkan permohonan semakan bagi mendapatkan perintah terhadap SPR untuk tidak membenarkan Mohd Shafie Apdal bertanding atau mengundi dalam PRU-14.

Dalam prosiding hari ini, SPR diwakili Peguam Persekutuan Kanan, Andi Razali Jaya, manakala Mohd Shafie diwakili Datuk Doughlas Lind dan Chung Jing Dau.

Mohd Ainal memohon injunksi mandatori terhadap pencalonan Mohd Shafie pada PRU-14 sehingga wang RM7.5 bilion yang didakwa hilang ketika bekas Naib Presiden UMNO itu menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dikembalikan.

Sementara itu, Jing Dau ketika ditemui media berkata, mahkamah memutuskan pemohon tidak mempunyai locus standi dan tuduhan dibuat tiada kaitan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mohd Shafie bertanding bagi kerusi Parlimen Semporna dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang – berita harian

BERITA BERKENAANWatak Kor Ming Cerminan Sebenar Pemimpin Parti DAP – Dr Zambry