KOTA KINABALU : Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal berkata, penyebaran sekeping gambar beliau memberi wang kepada orang awam tidak berlaku di Kimanis yang dalam tempoh berkempen sempena pilihan raya kecil pada 18 Jan nanti.

Katanya, gambar itu diambil di Sandakan selepas beliau menunaikan solat di sebuah masjid susulan upacara pecah tanah untuk projek peluasan Lapangan Terbang Sandakan sehari sebelum penamaan calon PRK Kimanis pada Sabtu lalu.

“Pada masa itu, saya berada di Sandakan bersama Menteri Kewangan, Lim Guan Eng untuk upacara itu, tetapi saya tidak cukup masa, jadi saya memutuskan untuk bersolat Jumaat di sebuah masjid berhampiran.

“Selepas itu, saya memberi sumbangan kepada penduduk yang tinggal dekat masjid itu kerana mereka daripada golongan miskin. Penduduk di Sandakan itu tidak mengundi di Kimanis,” katanya pada sidang media hari ini.

Upacara pecah tanah itu diadakan di Lapangan Terbang Sandakan pada 3 Jan lalu, di mana Shafie berhenti di Masjid Datuk Pangeran Galpam untuk menunaikan solat sebelum bertolak ke Kimanis yang jaraknya kira-kira 396.5km.

Shafie menyifatkan dakwaan itu sebagai taktik kotor mencemarkan imejnya menjelang PRK Kimanis.

Katanya, sebagai ketua menteri Sabah, beliau tidak boleh berhenti menjalankan tugasnya hanya kerana PRK akan diadakan.

“Negeri ini akan lumpuh jika kerajaan negeri perlu menghentikan operasi apabila pilihan raya diadakan.”