KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal enggan memberi respons mengenai kenyataan Presiden PKR yang mendakwa mempunyai majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Jelas Mohd Shafie, apa yang penting pada waktu ini adalah memberi fokus kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang hanya berbaki dua hari.

“Saya tidak mahu komen perkara itu. Apa yang saya tahu, saya beri fokus kepada PRN Sabah kerana saya mahu menang PRN itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Anwar yang mendakwa mempunyai majoriti ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Semalam, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata beliau telah mempunyai sokongan majoriti yang kukuh daripada Ahli Dewan Rakyat untuk membentu kerajaan baharu.

Ujarnya lagi, dengan sokongan itu, Kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah ‘jatuh’.

Terdahulu, Mohd Shafie hadir ke majlis bersama anak muda anjuran Sabah Unity Movement di Teluk Likas, Kota Kinabalu.