KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal memohon maaf kepada seluruh anggota keselamatan berhubung kenyataan calon parti itu, Datuk Mohamaddin Ketapi, mengenai insiden pencerobohan di Tanduo, Lahad Datu pada 2013.

Mohd Shafie berkata, calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Segama itu tidak berniat menghina pasukan keselamatan negara.

“Kenyataan yang dikeluarkan secara spontan itu disalah erti dan tidak berniat menghina perjuangan perajurit dan anggota keselamatan kita yang berkorban nyawa mempertahankan rakyat serta negara ini.

“Sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, saya amat memahami keperitan terpaksa ditempuh anggota keselamatan dalam menjaga sempadan negara, terutama di pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.

“Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas.

“Oleh itu, saya selaku Presiden WARISAN dan Ketua Menteri Sabah ingin memohon maaf kepada setiap anggota keselamatan, ahli keluarga mereka dan seluruh rakyat Malaysia atas kenyataan beliau (Mohamaddin),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Shafie berkata, pihaknya memahami cabaran dihadapi pasukan keselamatan ketika bertugas sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac lalu.

Dalam berdepan pandemik COVID-19, katanya, peranan anggota keselamatan sebagai barisan hadapan menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi berbahaya amat dihargai.

“Atas rasa tanggungjawab itu, saya memperuntukkan RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagihkan kepada semua barisan hadapan RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi,” katanya.

Semalam, satu klip video tular di laman media sosial memaparkan Mohamaddin yang juga bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, mempersendakan pasukan keselamatan ketika berkempen sehingga mencetuskan kemarahan semua pihak.

Beliau bagaimanapun tampil dengan permohonan maaf dan menjelaskan kenyataannya berhubung pasukan keselamatan seperti diucapkan beliau dalam klip video itu sudah disalah erti.