PADANG BESAR : Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yakin ada Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) bakal menyokong kerajaan baharu pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, tidak lama lagi.

Shahidan berkata, beliau yakin kesemua Ahli Parlimen terbabit akan bersama membantu Muhyiddin membaiki kerosakan sedang berlaku ketika ini.

“Saya berharap kawan-kawan di sebelah sana akan menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana kerajaan baru sekarang ini sedang berusaha memperbaiki kerosakan berlaku.

“Api perkauman meningkat, buruk sangka sesama sendiri, harga barang meningkat, ekonomi merudum dan kita harap mereka bersama dengan PN untuk memulihkan negara.

“Berdasarkan situasi semasa, memang ada mereka yang nak bersama PN dan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sudah berlaku, di Parlimen saya yakin ada tak lama lagi,” katanya ketika ditemui di Kampung Padang Pauh Utara semalam.

Mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen PH mendapat sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan, Shahidan menyangkalnya dan menegaskan dakwaan itu tidak benar.

“Tidak benar jika mereka ada sokongan majoriti mustahil perdana menteri yang baharu akan dilantik baru-baru ini.

“Sudah mesti Yang di-Pertuan Agong sudah membuat pertimbangan sewajarnya mengenai dakwaan itu. Jumlah tak mungkin 114 dan saya tak mahu kata apa-apa sebab ini lebih kepada strategi politik,” katanya.

Ditanya saranan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) dilantik ke barisan Kabinet, Shahidan berkata, perkara itu diserahkan kepada Muhyiddin.

“Kami menyokong Muhyiddin dan tak mahu minta apa-apa dan kini fokus untuk membina semula negara,” katanya -BH