IPOH – Program Jelajah Belia, Sukan, Komunikasi & Multimedia (BSKM) akan menjadi antara pendekatan utama kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah rakyat khususnya golongan belia di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi & Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata, program turun padang itu akan dilaksanakan di semua daerah di Perak bagi memastikan ia memberi impak secara terus kepada golongan belia.

“Program Jelajah BSKM melibatkan kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan yang akan diadakan secara sederhana tanpa melibatkan penyertaan atau perhimpunan ramai.

“Ia bertujuan untuk mendekati belia di peringkat akar umbi di seluruh negeri Perak melalui program-program pembangunan belia, sukan dan multimedia yang telah dirancang.

“Kita mahu menghimpunkan dan mendekati golongan belia sambil mendengar suara mereka, ini sekaligus akan menjadi simbol kebersamaan belia dan kerajaan dalam proses transformasi pembangunan belia dan sukan, “ katanya kepada Suara Perak ketika ditemui baru-baru ini.

Tambah Khairul Shahril, beliau juga akan melakukan lawatan ke Pusat Latihan Daerah (PLD) yang dikendalikan oleh Majlis Sukan Negeri selain meninjau kemudahan-kemudahan sukan dan liputan rangkaian komunikasi yang terlibat.

“Kita mahu memastikan segala kemudahan tersebut lengkap dan sempurna bagi kegunaan belia dan masyarakat setempat, termasuk juga kemudahan liputan komunikasi yang disediakan.

“Mereka akan diberikan pendedahan tentang teknologi maklumat dan multimedia melalui kursus dan bengkel yang diadakan. Ini adalah antara nilai tambah yang kita mahu bawa dalam program ini,“ jelasnya.

Khairul Shahril memberitahu, selain itu, program Ziarah Prihatin yang menjadi sebahagian pengisian Jelajah BSKM menjadi wadah kepada pihaknya untuk membantu tokoh belia yang mengalami kesukaran hidup atau masalah kesihatan.

Program Jelajah BSKM itu yang telah mula dilaksanakan sejak awal Julai lalu akan diadakan di dua daerah pada setiap bulan, katanya.