Kuala Lumpur: Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan mengesahkan beliau dijangkiti Covid-19.

Perkara itu disahkan menerusi Whatsapp ketika ditanya Harian Metro hari ini.

Malah, Shahril turut berkongsi berita itu di Twitter rasminya hari ini.

“Covid+ (Covid positif). Tiada simptom yang ketara melainkan penat sedikit.

“Buat keputusan untuk ambil ujian semalam di Kuala Lumpur sebagai langkah berjaga-jaga selepas kes melonjak naik, kerana saya terbabit berkempen di Sabah.

“Baru menerima panggilan dan akan dimasukkan ke hospital hari ini. Saya memohon maaf atas kesulitan yang bakal dihadapi orang yang menjadi kontak rapat saya,” katanya.

Shahril ketika ditanya turut mengesahkan beliau kini sudah dirawat di sebuah hospital.

Sebelum ini, Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Mohd Razlan Rafii turut disahkan positif virus itu dan sedang dirawat di hospital.