KUALA LUMPUR : Pelakon filem Juvana, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad memfailkan permohonan nusyuz terhadap isterinya, Noor Nabila Mohd. Noor di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada September lalu.

Perkara tersebut dinyatakan peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Sharnaaz, 34, sewaktu sebutan di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Muttaqi Ismail, hari ini.

Akberdin memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya telah memfailkan kes tersebut pada 19 September lalu dan diterima oleh Noor Nabila, 35, pada 22 September lalu.

Perkara berkenaan kemudiannya disahkan oleh peguam syarie, Azmi Rais yang mewakili Noor Nabila.

Hakim kemudiannya menetapkan 6 November ini bagi sebutan semula kes berkenaan.

Dalam prosiding itu juga, mahkamah turut diberitahu, pasangan tersebut telah melantik wakil jawatankuasa pendamai (JKP) yang mana Sharnaaz diwakili kakaknya Dr. Sherrini Ahmad manakala Noor Nabila melantik bapa tirinya, Datuk Abdul Halim Khan Lall Khan.

Mahkamah kemudiannya turut menetapkan 6 November ini bagi JKP mengemukakan laporan berhubung kemelut rumah tangga pasangan tersebut.

– UTUSAN ONLINE