BAGAN DATUK: Pihak berkenaan diminta menjalankan siasatan berhubung gambar sebuah lori yang dipenuhi bangkai ayam dipercayai dari Temoh, Perak menjadi tular di media sosial.

Ayam-ayam itu dikatakan turut dijual kepada pemilik restoran makanan di satu tempat yang tidak diketahui.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau akan mendapatkan maklum balas daripada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mengenai perkara tersebut.

“Saya harap Exco yang berkenaan akan membuat siasatan sama ada benar atau tidak apa yang diviralkan itu.

“Kalau benar, kita tidak boleh memandang mudah dan kita akan mengambil tindakan tegas kerana ia melibatkan makanan dan rakyat,’’ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mini Karnival Teras Keselamatan di Sekolah Tun Abdul Razak (STAR) Selekoh pada Khamis.

Menurut Dr Zambry, apa yang lebih penting pihak kementerian berkenaan perlu membuat siasatan bagi memastikan maklumat yang disampaikan itu benar atau sebaliknya.