PUTRAJAYA: Empat lelaki termasuk seorang bergelar Datuk dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini dengan ikat jamin RM25,000 oleh dua penjamin berhubung siasatan kes penjualan tanah milik kerajaan Selangor di Mukim Ijok.

Majistret Atiqah Abu Hassan membenarkan keempat-empatnya yang berusia antara 34 hingga 65 tahun itu dibebaskan selepas tempoh reman tamat hari ini.

Empat lelaki itu ditahan pada 20 Mac lalu di Petaling Jaya, Selangor dan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya.

BERITA TERDAHULU : Dua Datuk Antara Terlibat Skandal Penjualan Tanah Di Mukim Ijok

Mereka direman empat hari bermula 21 hingga 24 Mac, sebelum tempoh reman dilanjutkan empat hari lagi bermula 25 Mac.

Bagaimanapun, seorang lagi lelaki bergelar Datuk dilanjutkan reman dua hari bagi membantu siasatan kes sama.

Suspek berusia 53 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya selepas memberi keterangan pada 21 Mac lalu, seterusnya direman tujuh hari bermula 22 Mac dan berakhir hari ini.

Sehingga kini, tujuh orang ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan kes yang menimbulkan kontroversi, susulan penjualan tanah seluas 880 hektar kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion yang dipersoalkan banyak pihak termasuk peneroka asal – berita harian