TAIPING: Polis Daerah Taiping masih menyiasat mengenai kes seorang anggota polis yang didakwa mencabul kehormatan dua pelajar wanita sebuah kolej dalam kejadian di suatu lokasi sunyi, sekitar bandar ini pada Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat, berkata pihaknya mengesahkan ada menerima laporan yang dibuat oleh seorang daripada mangsa pada keesokannya yang mendakwa dicabul anggota polis berkenaan.

“Untuk makluman, pihak polis ada menerima laporan berkenaan kejadian anggota polis mencabul kehormatan dua penuntut kolej di mana mangsa mendakwa dicabul anggota terbabit di suatu kawasan sunyi.

“Siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp malam tadi.

Sementara itu, maklumat berhubung kes itu tular di aplikasi WhatsApp yang memaklumkan, suspek berusia 29 tahun itu dikatakan, meraba tubuh selain memujuk kedua-dua mangsa yang masing-masing berusia 18 dan 19 tahun untuk melakukan hubungan seks.

Kejadian dikatakan berlaku, selepas mereka dibawa oleh suspek bersama seorang lagi rakannya juga dipercayai anggota polis menaiki kereta peronda polis ke suatu tempat gelap dan sunyi berdekatan kawasan peridustrian di Simpang, di sini jam 11.30 malam.