BATU GAJAH: Sikap tidak bertanggungjawab segelintir penternak yang ‘lepas tangan’ dalam menjaga ternakan di sekitar kawasan Batu Gajah bukan sahaja menyebabkan pelbagai kemusnahan tetapi turut mengancam nyawa pengguna jalan raya.

Isu ternakan seperti lembu dan kerbau merayau bukan perkara baharu, sebaliknya telah berlaku sejak dari dulu.

Namun, sehingga kini ia gagal ditangani meskipun pihak berkuasa telah mengambil pelbagai inisiatif termasuk menyediakan kawasan yang bersesuaian.

Yang Dipertua Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG), Mohamad Razif Ramli berkata, pihaknya memandang serius perkara itu berikutan peningkatan aduan berkaitan haiwan ternakan berkeliaran yang turut menjadi punca kemalangan jalan raya.

Menurutnya, MDBG bersama-sama Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah menawarkan lokasi untuk menempatkan ternakan di Kampung Pisang di sini namun, usaha ia mendapat sambutan dingin daripada penternak.

“Mereka meminta kawasan itu disediakan bekalan air dan elektik serta pembinaan kandang. Kita tidak mampu memenuhi permintaan itu kecuali menyediakan tapak dengan kadar sewaan RM1,200 setahun,” katanya selepas majlis pelancaran Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Team Keris Berhad (TKB) bersama MDBG di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Razif, pihaknya menggalakkan penglibatan pengusaha dalam industri penternakan namun, ia perlu dilakukan secara sistematik dan mengikut piawaian yang ditetapkan.

Sehubungan itu, katanya, MDBG tidak pernah berputus asa untuk terus mengadakan dialog bersama lebih 30 penternak agar haiwan ternakan mereka dapat dijaga sebaik mungkin.

“Selain itu, operasi tangkapan ternakan merayau turut diadakan hampur setiap minggu dan pemilik dikenakan sehingga RM2,500 bagi setiap haiwan yang ditangkap,” ujarnya.

Beliau menasihatkan kepada penternak supaya mengambil pendekatan proaktif dalam mencari rezeki agar tidak membahayakan keselamatan orang lain.