IPOH– Sikap ‘tunggu dan lihat’ kalangan pelaburan ekoran keputusan Pilihanraya Umum ke-14 yang menyaksikan peralihan kuasa di peringkat kerajaan Persekutuan dan negeri menjadi faktor kepada pengurangan jumlah pelaburan di negeri Perak.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menyatakan jumlah pelaburan yang telah diluluskan setakat tempoh Januari hingga Mac 2018 di negeri ini sebanyak RM 249.8 juta.

Data tersebut juga menunjukkan RM 235.7 juta merupakan pelaburan tempatan manakala RM 14.1 juta diperoleh dari pelaburan asing.

“Bilangan projek yang telah diluluskan dalam tersebut berjumlah lima buah projek dengan memberi peluang pekerjaan kepada 371 pekerja.

“Kita dapat melihat perbezaan jurang yang agak jauh di antara pelaburan tempatan dengan pelaburan asing iaitu perbezaan hampir RM 221.6 juta.

“Jumlah yang sedikit dan berkurangan, di mana pengurangan nilai pelaburan ke negeri ini adalah disebabkan kebanyakan pelabur mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’, ekoran keputusan Pilihanraya Umum ke-14,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Sham Mat Sahat (BN-Alor Pongsu) di Mesyuarat Kedua, Penggal Pertama Dewan Negeri ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Dalam pada itu katanya, jumlah itu dijangka meningkat pada suku tahun berikutnya dalam tahun 2018 berdasarkan dasar kerajaan negeri yang mesra pelabur.

“Penyediaan perkhidmatan yang lengkap termasuk penyaluran paip gas di Lembah Kinta serta pembukaan lebih banyak kawasan perindustrian baru untk mewujudkan suasana kondusif di kalangan pelabur sedia ada,” ujarnya