PARIT BUNTAR – Kerajaan negeri Perak yang berdepan kontroversi mengenai pembinaan Hospital Kerian yang didakwa bermasalah terus diasak dengan isu yang lain pula.

Terkini, kerajaan didesak agar memberi penjelasan mengenai projek pembinaan pekan kecil di setiap daerah di Perak sebagaimana dilaksanakan kerajaan BN terdahulu.

Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Parit Buntar, Abu Bakar Hussain berkata, pada zaman pentadbiran BN sebelum ini, mereka menjanjikan sebanyak 41 pembinaan pekan kecil akan disiapkan di seluruh Perak bermula tahun 2013 dan sepatutnya berakhir pada tahun 2018.

Bagaimanapun, beliau menegaskan jawapan balas kerajaan BN terdahulu dalam persidangan Dun memaklumkan hanya mampu menyiapkan 12 projek berbanding 41 projek pembangunan pekan kecil sebagaimana dijanjikan.

“Manakala baki 29 projek pembangunan tidak sempat disiapkan dan BN berjanji akan meneruskan pembinaannya selepas PRU14, namun terhenti setelah kerajaan PH mengambil alih pentadbiran kerajaan.

“Persoalan saya, apakah status pembangunan baki 29 projek pembinaan pekan kecil tidak sempat disiapkan sebelum ini dan apakah kerajaan PH sudah mengambil langkah membatalkannya kerana berkaitan dengan projek kerajaan terdahulu?, katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, jika benar dibatalkan, bermakna malang bagi penduduk luar bandar di Perak kerana pembangunan pekan kecil di tempat tinggal mereka pastinya akan membantu memacu ekonomi penduduk setempat.

“Pas kawasan Parit Buntar mendesak kerajaan PH Perak meneruskan agenda pembangunan pekan kecil di seluruh negeri ini kerana keperluan pembangunannya amat bermakna untuk masa hadapan rakyat meskipun berskala kecil.

“Sehingga kini, kerajaan negeri masih belum memberikan penjelasan terperinci mengenai status pembinaan baki 29 projek pembangunan pekan kecil yang gagal disiapkan kerajaan BN dan isu itu kini menjadi tanda-tanya rakyat,” ujarnya.

Katanya lagi, adakah projek itu akan diteruskan atau lenyap begitu sahaja.

“Atau mungkin kerajaan negeri ada perancangan baharu bagi menambah baik keperluan projek sedia ada demi kepentingan rakyat?

“Dalam manifesto PRU PH sebelum ini, pakatan itu dilihat tidak menekankan usaha membina serta menyiapkan projek pembangunan pekan kecil dan kemudahan infrastruktur bersesuaian dengan keperluan penduduk luar bandar,” katanya lagi.

Tidak hanya itu, malah Abu Bakar turut menggesa agar dikemukakan jawapan bagi perancangan kerajaan negeri.

“Adakah kerajaan sedia ada sekadar berpuas hati mengekalkan perlaksanaan projek pembangunan negeri sedia ada tanpa mengkaji semula keperluan pembangunan pekan kecil didambakan penduduk luar bandar sejak sekian lama?

“Perlaksanaan projek pembangunan pekan kecil Titi Serong yang didambakan penduduk di situ sejak sekian lama, namun masih gagal direalisasikan kerajaan sehingga kini,” ujarnya lagi.

Katanya, rakyat masih kabur dengan dasar pembangunan kerajaan negeri dilihat tidak banyak memberikan fokus kepada instrumen pembangunan infrastruktur dalam semua aspek pembangunan terutama di kawasan luar bandar.

“Status kemudahan infrastruktur di kawasan pekan dan kampung terutama daerah luar bandar amat daif dan kurang kemudahan asas apatah lagi keperluan perlaksanaan projek berskala besar yang memerlukan perhatian lebih kerajaan sedia ada.

“Sudah tentu kerajaan hari ini perlu membuktikan kesungguhan serta keupayaan mereka dalam membantu rakyat serta melestarikan pembangunan di seluruh daerah di negeri ini, bukan sahaja dalam pembangunan fizikal malahan juga pembangunan modal insan,” katanya – sinar harian