IPOH: “Silakan, hina saya, itulah kenyataan ringkas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap tindakan pihak pembangkang yang menyelar tindakan beliau mengutip sampah di beberapa kawasan sekitar Perak.

Menurut Dr Zambry, tindakan Yong Choo Kiong (DAP-Tronoh) yang memperkecilkan usaha beliau dengan kenyataan tidak beradab di Sidang DUN Perak adalah dialu-alukan.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada DAP kerana peka dan sensitif terhadap kegiatan saya mengutip sampah, lebih banyak mereka menghina saya lebih banyak lagi orang mencerca indakan mereka.

“Saya pun hairan, kenapa mereka nak persoalkan tindakan saya dan mengatakan ianya permainan politik pula?

“Kalau mereka yang lakukan bukan pula berunsur politik, apa perbezaan saya dan mereka, semua mempunyai parti politik tersendiri,” katanya dalam sidang media di sini sempena Sidang DUN pada Rabu.

Dr Zambry berkata, pihaknya tidak akan menghalang sebarang hinaan dan prejudis pihak pembangkang yang sebenarnya mempromosikan usaha beliau untuk memastikan kebersihan negeri Perak secara keseluruhannya.