Oleh: Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Buat pertama kalinya Kelab Boling UMNO Batu Gajah mengadakan aktiviti rekreasi sebagai satu wadah yang menghimpunkan kepimpinan sayap-sayap parti dan penggerak komuniti.

Ahli Jawatankuasa Wanita Bahagian, Nurhayati Ramli berkata, kejohanan boling itu merapatkan sillaturahim di kalangan penggerak komuniti yang telah bertungkus lumus menjaga kebajikan penduduk setempat di sekitar Batu Gajah.

IMG-20171107-WA0039

Jelasnya, kejohanan itu juga, antara lain, bertujuan untuk menghargai sumbangan dan bantuan kepimpinan UMNO Bahagian yang tidak putus-putus memberikan sokongan, baik dari segi masa mahupun tenaga.

“Sebelum ini, masing-masing tak menang tangan turun padang menyelesaikan masalah dan menyelami kesulitan penduduk setempat, jadi inilah peluang untuk bersama-sama baik adik, kakak dan abang dalam UMNO Bahagian.

IMG-20171107-WA0038

“Selain itu, kami turut menjemput rakan-rakan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak, badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka yang tidak jemu-jemu memberikan bantuan dan galakan kepada kami selama ini, demi memastikan perancangan dan strategi dalam mengutamakan pembangunan rakyat di Batu Gajah terjaga rapi.

“Lebih daripada 60 peserta menyertai kejohanan ini dan kami berharap agar hubungan ini akan berkekalan malah diserikan dengan banyak lagi aktiviti bermanfaat di masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Perak ketika dihubungi selepas Kejohanan Boling Piala Pusingan Datuk Wira Yusoff Kassim di Aeon Jusco Kinta City, baru-baru ini.

IMG-20171107-WA0041

Nurhayati berkata, pihaknya turut berbangga kerana disokong dengan padu oleh para jurulatih profesional Boling Negeri Perak yang hadir memberikan semangat.

Katanya, pihaknya akan cuba untuk mengaturkan pertemuan baik berbentuk sukan dan rekreasi untuk tujuan merapatkan hubungan antara pelbagai peringkat baik pimpinan UMNO dan juga golongan rakyat yang begitu positif dalam bekerjasama dengan pihaknya.