KERIAN: Satu sindiket pengedaran dadah tumpas selepas polis berjaya menahan dua lelaki yang cuba menjadikan garaj kereta sebagai makmal pemprosesan dadah bersama sepucuk pistol dalam serbuan di Bagan Selatan, Tanjong Piandang di sini pada Jumaat lepas.

Dalam serbuan yang dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian pada pukul 11 malam itu, kedua-dua lelaki berusia 40-an berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan antara polis dan suspek dalam cubaan mereka untuk melarikan diri.

32ff6a28-3e51-4b7c-8bca-a8e5584fa06bKetua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, hasil pemeriksaan pada salah seorang suspek menemui satu paket lutsinar disyaki dadah jenis methamphetamine dalam beg silang yang dipakainya.

“Pemeriksaan lanjut di dalam sebuah kereta jenis Perodua Kancil suspek turut menemui sepucuk pistol P-01 Cal.9 Luger bersama satu kelopak kosong dan 35 butir peluru hidup di dalam beg kertas yang diletakkan tempat duduk penumpang hadapan kereta tersebut.

“Kami percaya pistol tersebut digunakan suspek bagi mempertahankan diri daripada sebarang ancaman yang boleh mengganggu kegiatan jenayah mereka,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kerian, di sini pada pagi Isnin.

Menurut Omar Bakhtiar, polis turut menemui tiga botol plastik dan kaca yang mengandungi bahan kimia serta empat balang kaca mengandungi asid yang akan digunakan suspek bagi memproses dadah.

“Kesemua dadah yang dirampas berjumlah 884.7 gram heroin, 10.9 gram methamphetamine dan 9.6 gram pil eramin 5 yang keselurahannya bernilai RM25,000 dan boleh diedar kepada 1,000 penagih di sekitar daerah ini.

“Hasil soal siasat mendapati sindiket tersebut telah aktif menjalankan kegiatan pengedaran sejak enam bulan lalu dan polis sedang menjalankan siasatan bagi mengesan baki ahli sindiket itu,” katanya.

Katanya, kedua-dua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 24 Februari hingga 2 Mac depan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960.

Sementara itu, Omar Bakhtiar berkata, dalam serbuan berasingan di sebuah rumah di Taman Aman Sejahtera di sini pada Selasa lalu, seorang lelaki ditahan selepas menyamar sebagai anggota polis dan melakukan empat kegiatan samun di sekitar Bagan Serai sejak tahun lalu.

“Suspek kini ditahan reman bermula 21 Februari lalu sehingga esok (hari ini), bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata,” katanya.