GERIK : Satu sindiket pemburuan dan penjualan hidupan liar yang aktif dan menjadi buruan agensi penguatkuasaan sejak tahun 2009 akhirnya tumpas selepas empat lelaki termasuk seorang pekerja kontrak di Institut Perhutanan Malaysia berjaya ditahan dalam satu operasi yang dijalankan di kawasan hutan Gerik di sini sejak Ahad hingga semalam.

Keempat-empat suspek berusia 40 hingga 49 tahun itu ditahan di sekitar daerah Gerik pada pukul 12.30 tengah hari Isnin dalam Ops Gading yang dijalankan 40 anggota polis bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah menembak mati seekor gajah jantan dewasa berusia 30 tahun di kawasan Hutan Piah di sini minggu lepas.

“Kita menemui bangkai seekor gajah yang telah ditembak suspek sebanyak tiga kali iaitu dua di bahagian kepala dan satu tembakan di bahagian punggung kanannya.

“Hasil soal siasat mendapati suspek mengaku telah menjual dua gading gajah itu kepada pembeli dari negara jiran dengan harga RM12,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.

Tambah Zulkifli, polis turut merampas hasil buruan mereka termasuk sebatang tanduk rusa dan tujuh tulang hidupan liar dipercayai tulang harimau selain wang tunai RM10,500 dipercayai hasil jualan gading gajah.

“Kita turut merampas empat laras senjata termasuk selaras Colt M16 5.56, selaras Rifle .458 dan dua laras Shotgun buatan sendiri serta 255 butir peluru hidup pelbagai jenis dipercayai digunakan untuk memburu haiwan liar.

“Siasatan lanjut mendapati, sindiket ini ini berjaya mengaut keuntungan kira-kira RM800,000 selepas menembak mati dan menjual gading 20 ekor gajah sejak 2009,” katanya.

Menurut beliau, sindiket itu juga boleh mengaut keuntungan sehingga RM100,000 sekiranya dapat menjual seekor harimau dan angka itu boleh bertambah apabila bahagian-bahagian anggotanya dijual secara berasingan.

“Keempat-empat mereka kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam hingga Ahad depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6 Akta Bahan Letupan/Kakisan dan Senjata Merbahaya 1958.

“Polis percaya masih ada ahli kumpulan sindiket tersebut yang masih bebas dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan ahli kumpulan sindiket tersebut,” katanya.

Sementara itu, Abdul Kadir berkata, Perhilitan amat berdukacita dengan kegiatan jenayah kejam yang dilakukan sindiket tersebut dan berbangga dengan kejayaan pihaknya bersama polis menumpaskan kegiatan seumpama itu.

“Data yang dikumpul tiga tahun lalu, populasi gajah yang masih hidup di Semenanjung Malaysia adalah sekitar 1,200 hingga 1,500 ekor manakala bilangan harimau pula hanya sekitar 250 hingga 340 ekor.

“Kita berharap kumpulan-kumpulan pemburuan haiwan liar lain yang masih aktif melakukan aktiviti segera menghentikan jenayah tersebut dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan itu dapat menyalurkannya kepada pihak berkuasa,” katanya.