KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mencadangkan Menteri Besar Selangor Amirudin Shari supaya menyingkirkan DAP dari pentadbiran kerajaan negeri susulan dakwaan percubaan parti itu menghalang pindaan enakmen negeri terhadap penukaran agama kanak-kanak di bawah umur secara sepihak.

“Saya menyeru rakan-rakan Adun di Selangor untuk mengambil langkah pada masa yang terbaik hari ini untuk menyingkirkan DAP dari pentadbiran negeri Selangor.

“MB wajar memulakan langkah proaktif mengadap ultan Selangor bagi mewajarkan rombakan exco negeri Selangor dengan mengeluarkan semua ahli exco daripada DAP seterusnya menyingkirkan speaker DUN Selangor yang juga daripada parti tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS itu, partinya dan Umno sedia menghulurkan sokongan bagi menjayakan agenda berkenaan.

Pakatan Harapan (PH) kekal di Selangor selepas pilihan raya umum ke-14 dan sehingga hari ini memiliki 50 daripada 56 kerusi. BN cuma memiliki lima kerusi manakala PAS pula cuma satu.

“Sekiranya sokongan daripada Umno dan PAS diperlukan, tiada sebab untuk kedua-dua parti ini walaupun dengan jumlah kerusi yang kecil menolak untuk bekerjasama menjayakan agenda ini,” katanya.

Pada masa ini, enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam. Pindaan itu untuk mengubahnya kepada “ibu atau bapa”.

Versi bahasa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.

Walau bagaimanapun, cadangan pindaan itu menuju jalan buntu apabila Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim dikatakan memendekkan sidang DUN hanya kepada dua hari, pada 31 Julai lalu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata jika “permulaan terlerainya Pakatan Rakyat adalah Langkah Kajang di Selangor, tiada yang pelik jika lerainya Pakatan Harapan juga bermula dengan Langkah Sekinchan di Selangor”.

“Jika ada yang masih berpura-pura tidak nampak dengan kemelut Selangor ini, saya kira ia adalah situasi yang sangat malang,” katanya.