IPOH – Pakatan Harapan bukan tong sampah sampah untuk menerima dan menyimpan mereka yang terbukti tidak berprinsip, tidak bermaruah dan pernah menjual amanah rakyat untuk kepentingan dan tujuannya sendiri.

Ahli Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh, menyatakan perasaan terkilan beliau terkilan apabila Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Datuk Azumu dan PPBM Perak telah menerima permohonan keahlian bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi semalam.

“Sejarah Perak pada tahun 2009 merupakan satu sejarah yang pahit bagi kesemua warga Perak. Krisis Perlembagaan pada ketika itu telah berlanjutan lebih daripada tiga tahun dan kesemua ini disebabkan oleh tindakan pengkhianatan tiga orang ADUN Pakatan Rakyat pada ketika itu, termasuk Jamaluddin, yang menjatuhkan satu Kerajaan Perak yang mempunyai sokongan majoriti, dan diganti dengan satu pihak yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-12.

“Detik hitam ini tidak pernah dilupai oleh warga Perak.

Warga Perak telah menaruh harapan yang tinggi terhadap kerajaan baharu yang baru dibentuk dua hari yang lepas,” ujar beliau dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.

Kah Woh yang juga Ketua DAPSY Kebangsaan berkata Ahmad Faizal harus memahami kehendak dan perasaan warga Perak khasnya dalam perkara yang melibatkan krisis negeri Perak pada tahun 2009, sekaligus mengingatkan harapan ini merupakan satu amanah oleh warga Perak.

Pakatan telah memenangi kerusi paling banyak di Negeri Perak pada PRU14 walaupun tidak cukup untuk mencapai sokongan majoriti, tambah beliau.

“Kerajaan Negeri Perak telah dibentuk dengan sokongan daripada dua orang ADUN UMNO dan ia telah mencukupi. Kita tidak memerlukan mereka yang pernah mengkhianati amanah rakyat,” kata Kah Woh.

Beliau turut memetik kata-kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir yang telah berpesan bahawa UMNO tak boleh ada dalam Pakatan.

“Penerimaan masuk Jamaluddin ke PPBM Perak pada hari pertama Ahmad Faizal melapor kerja adalah satu perkara yang tidak harus berlaku,” tegasnya.