KUALA LUMPUR: Pengenalan Pas Perjalanan Tanpa Had selama 30 hari antara usaha ke arah mewujudkan sistem masyarakat tanpa tunai, sekali gus mampu menangani gejala rasuah dalam negara.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, ia dapat dilakukan berikutan setiap transaksi tanpa tunai akan direkod dalam bank dan sistem lain.

“Kerajaan akan memikirkan cara-cara untuk memperkenalkan sistem tanpa wang ini. Bila kita guna tunai, kadang-kadang tunai ini diguna untuk rasuah dan sebagainya.

“Bila kita perkenal sistem tanpa tunai, sukar bagi mereka untuk sogok-menyogok wang rasuah kepada sesiapa kerana semuanya akan direkod.

“Setiap satu perbelanjaan akan direkod dalam bank dan dalam lain-lain sistem supaya kita dapat tahu siapa yang memberi dan siapa menerima wang sogokan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 di Kl Sentral, di sini, hari ini.

Perdana Menteri berkata, sistem itu antara usaha kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Kalau tidak ada rasuah sudah tentu kos sara hidup akan akan berkurangan. Sebaliknya kalau kita lihat rasuah berleluasa di negara kita, maka setiap satu kerja kita lakukan akan jadi lebih mahal kerana perlu bayar sekian banyak pada pihak tertentu yang mempunyai kuasa meluluskan satu-satu permintaan.

“Kita berjanji dalam manifesto kita untuk sedaya upaya kurangkan kos sara hidup rakyat, tetapi di masa sama kalau kos sara hidup rakyat itu ditanggung pihak kerajaan, ini bermakna kita tidak selamatkan apa-apa kerana wang kerajaan datang daripada cukai yang dipungut kerajaan daripada rakyat.

“Apabila guna wang kerajaan kita juga guna wang rakyat, dengan itu kita perlu tanggung sara hidup yang lebih tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata pelbagai cara difikirkan kerajaan untuk membantu rakyat dan mengalu-alukan jika mana-mana pihak mempunyai idea bagaimana untuk mengurangkan beban sara hidup.

“Sudah tentu kalau semuanya hendak bagi percuma, (kerajaan) tidak mampu buat. Tapi kalau ada cara kurangkan kos sara hidup kita, termasuk kos perjalanan dari satu tempat dan kos barangan yang dijual di kedai dan pasar, kerajaan akan terima dengan baik cadangan itu sama ada daripada individu atau syarikat atau mana-mana kumpulan.

“Sepanjang masa kerajaan PH cuba menolong rakyat walaupun kita tidak minta supaya rakyat berterima selalu pada kerajaan, tapi bila ada pilihan raya fikir-fikir samalah, kita tolong kita hendak jugalah balasan kerana kita nak tolong lagi,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan timbalannya, Datuk Kamarudin Jaffar – berita harian