KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret hari ini melepas dan membebaskan peguam, Siti Kasim daripada tuduhan menghalang menghalang tugas penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), empat tahun lalu.

Majistret Tawfiq Affandy Chin memutuskan untuk tidak memanggil wanita itu membela diri selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Sebelum ini, Siti Kasim atau nama penuhnya, Siti Zabedah Kasim didakwa dengan sengaja menghalang Siti Nor Jihan Saleh @ Md. Ghazali, 36, untuk menjalankan tugas di dewan tingkat 2, Hotel Renaissance di sini, pada jam 10.30 malam, 3 April 2016.

Insiden itu berlaku dalam satu serbuan yang diadakan JAWI dalam pertandingan ratu cantik transgender yang diadakan di Hotel Renaissance di sini.

Siti Kasim didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – UTUSAN