PUTRAJAYA: Sekolah Kebangsaan Presint 8 (1), Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Sekolah Kebangsaan Bangsar, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diarahkan tutup bermula hari ini sehingga 16 Oktober berikutan wujud kes positif Covid-19 di sekolah-sekolah tersebut.

Kementerian Pendidikan (KPM) dalam kenyataan berkata, ia melibatkan sejumlah 2,978 murid sekolah rendah dan 211 guru dan kakitangan.

Menurut kenyataan itu, sekolah-sekolah di seluruh negeri Sabah juga diarahkan tutup sehingga 25 Oktober bagi mengawal penularan pandemik berkenaan dan membolehkan kerja-kerja pembersihan serta disinfeksi dijalankan.

Bagaimanapun, murid-murid sekolah berasrama penuh yang berada di zon merah hendaklah kekal berada di asrama.

“Begitu juga bagi murid di asrama sekolah yang terletak di zon hijau tetapi rumah keluarga mereka di zon merah, juga perlu kekal tinggal di asrama. Pihak sekolah akan menguruskan keselamatan dan kebajikan murid-murid berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu memberitahu, mana-mana sekolah di seluruh negara yang mempunyai kes positif Covid-19 perlu ditutup untuk tempoh tujuh hari tanpa menunggu analisis risiko oleh Kementerian Kesihatan, namun perlu mematuhi garis panduan yang dikeluarkan oleh KPM.

Katanya, ini bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan, disinfeksi dan pengesanan kontak rapat dijalankan oleh Kementerian Kesihatan.

“Dalam tempoh penutupan sekolah ini, pentadbir sekolah diarah memastikan guru-guru serta murid melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah. Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM www.moe.gov.my,” katanya.

Sejak sekolah dibuka semula mulai 24 Jun lalu, sebarang keputusan untuk
menutup kelas atau menutup sekolah adalah berdasarkan arahan daripada Kementerian Kesihatan.

Sepanjang tempoh ini, sekiranya Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mengesan terdapat kes positif Covid-19 dalam kalangan murid, guru dan warga sekolah, PKD akan membuat analisa risiko secara menyeluruh ke atas jangkitan kes berkenaan.

Berdasarkan analisa risiko ini, katanya, Kementerian Kesihatan melalui PKD akan mengeluarkan arahan sama ada untuk kelas, tingkat dan bangunan ditutup ataupun keseluruhan sekolah perlu ditutup. – UTUSAN ONLINE