KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Skim Insurans Kelompok kepada 265,000 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), JKKK Persekutuan (JKKKP) dan JKKK Orang Asli (JKKKOA) berkuat kuasa Januari 2018.

Beliau berkata, skim itu diluluskan Kabinet pada minggu lalu itu dan melaluinya, kerajaan akan membayar RM10 manakala ahli JKKK/JKKKP/JKKKOA perlu membayar RM7 setahun, yang antara lain bakal memperoleh faedah kematian akibat kemalangan RM5,000, manakala kematian biasa RM2,500.

Katanya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah turut mengeluarkan kad identiti JKKK/JKKKP/JKKKOA yang memberikan faedah diskaun bagi pembelian produk pertanian, penginapan, makan minum di hotel dan resort tertentu.

Beliau mengumumkan skim tersebut di Perhimpunan JKKK)/JKKKP)/JKKKOA serta Anugerah Desa Perdana 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Majlis yang mengumpulkan lebih 10,000 JKKK/JKKKP/JKKKOA seluruh negara turut dihadiri Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung, Datuk Shahaimi Othman.

Pada majlis itu, Najib turut menyampaikan Anugerah Desa Perdana 2017 peringkat kebangsaan kepada pemenang tiga kategori iaitu kategori Kampung Tradisional, Kampung Orang Asli dan Rumah Panjang.

Terdahulu, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Ketua Kampung, Zubir Jamal memimpin bacaan ikrar sebelum menyerahkan skrol taat setia kepada Perdana Menteri.

Pada majlis itu juga, seramai 15 wakil peserta Sijil Tadbir Urus Desa daripada 3,000 orang dalam kalangan JKKK, JKKKP menerima sijil program kerjasama Institut Kemajuan Desa (INFRA) dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

Diadaptasi dari BH Online