Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BAGAN DATUK: Skuad bola speak Sukan B-22 negara merupakan yang terkuat dalam persaingan kali ini dan diramalkan mampu menewaskan negara jiran, Thailand sekurang-kurangnya 1-0 dalam aksi perlawanan akhir malam ini, kata Timbalan Perdana Menteri.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata perebutan ibu bagi segala emas untuk Sukan SEA ke-29 melibatkan bola sepak bakal menjadi pertembungan sengit yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam 8.45 malam ini.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata pingat emas bagi kejohanan sukan utama bagi Sukan Sea itu adalah ibu emas dan kekuatan bola sepak Malaysia mampu diterjemahkan dengan kemenangan pasukan negara.

“Saya doakan agar pasukan kita menang dan ramalan saya kita akan berjaya mengalahkan Thailand sekurang-kurangnya 1-0,”katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lembu Korban Sempena Hari Raya Aidiladha 1438H Parlimen Bagan Datuk, di Dewan Dato Mohamed Jamrah Sungai Sumun, di sini hari ini.

Ahmad Zahid, turut meminta sokongan tidak berbelah bahagi daripada seluruh rakyat Malaysia kepada pasukan negara untuk aksi terakhir pada malam ini.

Menurutnya, meskipun Malaysia diramalkan mampu juara namun skuad Thailand tidak boleh dipandang ringan mutu permainan kerana mereka juga sama kuat.