TANJUNG MALIM: Seramai 267 orang anggota polis sebagai pengundi awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Slim, Perak akan mengundi esok di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Slim River.

Menurut Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Ikmaruldin Ishak, Pusat Pengundian Awal akan dibuka mulai jam 8.00 pagi hingga 5.30 petang.

Katanya, sepanjang proses undi awal ini, pematuhan kepada garis panduan pencegahan COVID-19 yang berkuatkuasa seperti penjarakan fizikal, amalan pemakaian pelitup muka separuh, penggunaan pensanitasi tangan dan saringan suhu badan akan dilaksanakan.

“Proses pengundian awal ini akan disaksikan oleh ejen calon serta Pemerhati Pilihan Raya yang telah dilantik oleh SPR.

“Di samping itu, SPR akan menyiarkan proses pengundian ini secara live streaming menerusi Facebook SPR,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, peti undi bagi pengundian awal itu akan disimpan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim dan pengiraannya akan dibuat pada Hari Pengundian pada 29 Ogos 2020 di pusat pengiraan undi di Bilik Menunggu, Aras 3, Majlis Daerah Tanjong Malim.

“SPR berharap para pengundi menunaikan hak dan tanggungjawab mereka,” ujarnya