TANJUNG MALIM: Pengundi di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.58 Slim, yang telah menerima kad pengundi (voter’s card) atau telah mengetahui maklumat pengundian, tidak lagi perlu membuat semakan di barung semakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sebaliknya, mereka boleh terus ke saluran mengundi.

Setiausaha SPR, Ikmalrudin Ishak berkata, pada kad pengundi, SPR juga meletakkan maklumat “MASA KELUAR MENGUNDI YANG DIGALAKKAN” bagi setiap pengundi.

Menurutnya, SPR amat berharap pengundi keluar mengundi mengikut masa tersebut untuk mengelakkan pengundi berkumpul dalam jumlah yang ramai dan seterusnya memastikan penjarakan fizikal dalam kalangan pengundi semasa berada di pusat mengundi.

“Para pengundi yang tidak menerima kad pengundi boleh membuat semakan maklumat pengundian mereka lebih awal sebelum hari pengundian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semakan boleh dibuat melalui saluran-saluran berikut:

a) Portal semakan pemilih iaitu https://pengundi.spr.gov.my;

b) Hotline SPR di talian 03-88927018;

c) Aplikasi MySPR Semak; atau

d) SMS ke 15888 (taip SPRSEMAKNO.KAD PENGENALAN)

Ikmalrudin berkata, pengundi juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan kad pengundi atau catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran.

Menurutnya, pengundi yang baru membuat semakan, mereka disarankan untuk mencatat dan menyimpan maklumat-maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan pemilih.

Katanya, kad pengundi atau catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan KP1 untuk membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada hari mengundi.

“SPR ingin menyeru semua pengundi untuk melaksanakan hak mengundi mereka,” ujarnya.