TANJUNG MALIM: Kehadiran ramai anak muda membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim adalah petanda awal kebangkitan sokongan golongan itu terhadap BN.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, kehadiran mereka juga adalah mesej mereka telah membuat keputusan mengenai parti yang akan menjamin masa hadapan mereka.

Sehubungan itu, beliau berharap, anak muda jangan ragu dan bimbang terhadap usaha yang dilakukan oleh Barisan Nasional untuk terus membela nasib golongan tersebut.

“Kita jangan ragu dan bimbang terhadap usaha kita untuk memastikan bahawa masa depan anak muda dan negara ini tidak boleh diletakkan kepada pihak yang telah terbukti gagal memimpin negara selama 22 bulan,” katanya.

Beliau berucap di hadapan kira-kira 80 ahli Kelab Mahasiswa Umno Malaysia yang berkempen di Felda Trolak Utara pada Isnin.

Hasni berkata, ekoran kegagalan kerajaan 22 bulan itu, Pemuda UMNO dan Barisan Nasional bangkit untuk memastikan masa hadapan diletakkan di bahu mereka yang benar-benar bertanggungjawab.

Menurutnya, kepimpinan Umno dan Barisan Nasional di Johor meletakkan harapan tinggi agar keputusan PRK DUN Slim akan merebak sampai ke negeri itu juga.