KUALA LUMPUR: Syarikat Sodexo mengesahkan tiga individu yang dipercayai dibunuh selepas diculik kumpulan pengganas di Kabul, Afghanistan dan mayat mereka ditemui, semalam, adalah kakitangannya.

Sodexo Services Asia Pte Ltd menerusi kenyataan media kepada NSTP, hari ini, memberitahu mereka kini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Kabul berhubung perkara itu.

“Kami mengesahkan tiga kakitangan kami yang terbabit dalam kejadian itu terdiri daripada warga Malaysia, India dan Macedonia.

“Kami akan berkongsi maklumat lanjut sekiranya ada nanti. Kami akan turut menyediakan khidmat sokongan psikologi kepada kakitangan lain yang masih berada di sana,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sodexo, Denis Machuel, menyatakan pihaknya sedih dan terkejut dengan kejadian menimpa tiga kakitangannya itu.

“Bagi pihak komuniti Sodexo, saya ingin menyatakan yang kami bersimpati dengan keluarga, sahabat handai dan rakan sekerja ketiga-tiga mereka,” katanya.

Semalam, Kedutaan Besar Malaysia di New Delhi, India, mengesahkan rakyat Malaysia yang dibunuh di Kabul, Afghanistan, diculik bersama dua rakan sekerjanya awal minggu ini.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar, mayat ketiga-tiga mereka ditemui di Mussahi, 33 kilometer (km) dari selatan Kabul, semalam.

Difahamkan, tiada pihak mengaku bertanggungjawab atas penculikan dan pembunuhan ketiga-tiga mangsa.

Kedutaan Besar Malaysia di New Delhi, sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa di Afghanistan dalam mendapatkan sebarang perkembangan dan petunjuk terbaru berhubung kejadian.

Selain itu, Kementerian Luar juga sedang berusaha menguruskan urusan membawa pulang mayat rakyat Malaysia terbabit.

Mangsa yang juga tukang masak berusia 64 tahun, dipercayai dibunuh bersama dua lagi rakan sekerjanya iaitu seorang warga India berusia 39 tahun dan warga Macedonia berusia 37 tahun.

Pasukan keselamatan Afghanistan dalam kenyataan rasmi dikeluarkan dan disiarkan oleh Reuters, menyatakan ketiga-tiga mangsa adalah pekerja Syarikat Sodexo, sebuah syarikat pembekal makanan dan katering kedua terbesar di dunia – berita harian