KUALA LUMPUR: Penyebaran surat palsu mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, disifatkan sangat melampau dan berniat jahat.

Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Mohd Sumali Reduan, berkata surat berkenaan mungkin disebarkan oleh segelintir pihak yang berkepentingan untuk merosakkan imej Presiden UMNO.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, Pejabat Presiden UMNO tidak pernah mengeluarkan surat yang tular di media sosial mengenai sokongan kepada salah seorang pemimpin parti pembangkang sebagai Perdana Menteri kesembilan.

“Saya dan pegawai pejabat Presiden yang selalu bertanggungjawab menyediakan segala surat-menyurat dan juga ‘letter head’ tidak pernah dikeluarkan (mengeluarkan surat) tanpa nombor rujukan,” ujar beliau menerusi satu kenyataan media yang tidak menyebut nama Anwar di sini, hari ini.

Terdahulu tular surat surat bertarikh 11 Oktober, 2020, yang didakwa dihantar Ahmad Zahid sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, mengenai sokongan beliau dan ahli-ahli Parlimen UMNO kepada Anwar untuk membentuk kerajaan baharu.

Selain nama dan tandatangan Ahmad Zahid sebagai pengutus, surat tersebut turut dilihat mempunyai tandatangan ahli Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai saksi akuan berkenaan.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dalam ciapannya berkata, parti masih berpegang teguh kepada keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi sebelum ini, iaitu mengukuhkan Barisan Nasional, memantapkan Muafakat Nasional, dan tiada DAP dalam kerjasama politik.

“Saya selaku Setiausaha Agung UMNO juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tetap berpegang teguh kepada pendirian keputusan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini iaitu – Kukuhkan #BN, Mantapkan #MN, dan Tiada DAP.

“Tiada hubungan dengan pimpinan yang bersepakat dengan DAP seperti Anwar Ibrahim dan Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya lagi..

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata beliau tidak pernah dimaklumkan mengenai surat itu.

Beliau ketika dihubungi Astro AWANI berkata, perkara itu mungkin hanya satu andaian atau spekulasi pihak tertentu.

Pada 23 September lepas, Anwar dalam satu sidang media khas mendakwa beliau mempunyai bilangan sokongan ahli Parlimen yang mencukupi untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Susulan kenyataan itu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, UMNO dan Barisan Nasional tidak dapat menghalang ahli-ahli Parlimen parti itu untuk mengambil keputusan menyokong Pengerusi Pakatan Harapan itu.

“Saya dimaklumkan ramai ahli-ahli Parlimen UMNO dan BN yang telah menyatakan sokongan. Saya menghormati pendirian ahli-ahli Parlimen berkenaan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, dua Ahli Parlimen UMNO bertegas mengatakan mereka tidak akan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri yang baharu.

“Jika surat tersebut benar, saya mahu menyatakan secara tegas bahawa Presiden parti saya tidak memaklumkan kepada saya.

“Saya tidak menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” kata Ahli Parlimen Rembau, yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dalam entri di laman Instagramnya.

Ahli Parlimen Sembrong, yang juga Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dalam ciapan di Twitternya berkata, beliau sama sekali tidak akan menyokong Anwar menjadi Perdana Menteri.