PARIT – Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada pertubuhan yang menganjurkan aktiviti kebudayaan Melayu dalam usaha memartabatkan budaya dan sejarah bangsa berkenaan.

Exco Kerajaan Negeri, Hasnul Zulkarnain Abd Munaim berkata, penganjuran aktiviti seumpama ini dapat memberi maklumat kepada orang ramai mengenai budaya Melayu yang semakin dilupakan generasi hari ini.

“Kerana itu saya melihat aktiviti kebudayaan oleh Persatuan Kebudayaan Muzik Melayu Nusantara Cawangan Perak di Pulau Misa, Bota Kiri ini sebagai satu aktiviti yang patut diiktiraf kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri harus memberi tumpuan dari sektor pelancongan untuk kawasan ini yang terletak di tepi Sungai Perak dan saya akan berbincang dengan lebih lanjut mengenai cadangan ini bersama Pejabat Daerah dan Tanah Perak Tengah,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Muzaqarah dan Malam Melayu Sejati Gabungan NGO Melayu Perak Darul Ridzuan, di sini, semalam.

Tambahnya, peranan Pulau Misa yang sering dijadikan lokasi pertemuan anak Melayu dari pelusuk tanah air yang menaikkan semangat anak Melayu mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri ini.

“Saya juga yakin, pihak universiti juga berminat mengadakan aktiviti di perkampungan ini melibatkan pelajar mereka dan apa yang penting adalah untuk mendapatkan dahulu status tanah ini yang rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Kebudayaan Muzik Melayu Nusantara Cawangan Perak, Mior Yazid Abdul Manaf menyambut baik cadangan Hasnul Zulkarnain agar Pulau Misa dijadikan lokasi pelancongan di negeri ini.

“Kami sedia maklum tanah seluas 10 ekar ini rizab JPS namun aktiviti kebudayaan di sini bukan sahaja memartabatkan budaya Melayu malah juga kami membantu pemulihan akhlak generasi hari ini,” katanya – sinar