KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju secara dasar melonggarkan syarat untuk mendirikan solat berjemaah dan Jumaat berasaskan kepada keluasan masjid khususnya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kebenaran itu diberikan jika mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial.

Bagaimanapun katanya, kelulusan rasmi untuk membenarkan solat berjemaah dan Jumaat didirikan di tiga wilayah itu masih tertakluk kepada perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Menteri Hal Ehwal Agama (Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri) telah membentangkan dalam mesyuarat khas menteri pagi tadi dan mencadangkan pembukaan masjid diberi kelonggaran.

“Solat berjemaah dan Jumaat dulu kita hadkan hanya 30 orang saja. Tadi kita bersetuju kebenaran (solat jemaah) berdasarkan keluasan masjid. Asalkan ada penjarakan sosial, kita tiada halangan buka untuk orang ramai solat berjemaah,” katanya pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Putrajaya, hari ini.