KUALA LUMPUR – Dalam suasana keheningan dinihari, jenazah Allahayarham Mejar Mohd Zahir Armaya disembahyangkan di Masjid Muhamad Al-Fatih Kem Wardiebun  di sini sebelum dibawa ke tanah Perkuburan Tambun, Perak.

Turut menyertai solat jenazah, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu; Panglima Tentera Darat Jen Datuk Seri Ahmad Hasbullah Ahmad Nawawi; dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Nazim Mohd Alim dan ayah Allahyarham, A R Badul serta anggota keluarga yang lain juga menyertai solat jenazah bersama kira-kira 1,000 jemaah yang lain.

Solat jenazah pegawai komando 11 Gerup Gerak Khas (11 GGK) itu selesai kira-kira pukul 2.43  pagi dan terus dibawa ke Tambun, untuk dikebumikan.

Suasana hiba menyelubungi perkarangan masjid dengan kehadiran isteri Allahyarham Nour Shafinar Harun bersama tiga anaknya, pelakon AR Badul yang merupakan bapa Allahyarham serta kaum keluarga dan sahabat handai.

Mohd Zahir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth pada pukul 9.20 pagi Rabu selepas cedera parah terkena tembakan semasa menyertai demonstrasi gimik pelancaran divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged ke-13 di Padang Kawad 6 RAD, Kem Lok Kawi.

 

– MalaysiaGazette