PENGKALAN HULU: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri Perak berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk 23 ekor anjing dari pelbagai jenis baka yang dianggarkan bernilai RM20,000 di pintu masuk Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini semalam.

Menurut Pengarah MAQIS Perak, Rozita Superman, kesemua anjing itu diletakkan di lapanĀ buah sangkar yang berlainan dan disembunyikan dalam sebuah lori transit yang membawa buah-buahan dari Thailand ke Singapura.

“Jenis baka anjing yang dibawa masuk adalah Pomeranian, Shih Tzu dan French bulldog.

“Anjing dari pelbagai baka itu tidak mempunyai sebarang dokumen seperti Permit Import sah yang dikeluarkan oleh Jabatan MAQIS dan Sijil Kesihatan dari negara asal,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, kegagalan untuk mengemukakan Permit Import merupakan suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728].

Di mana jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau keduanya sekali di bawah Seksyen 11(2) Akta yang sama.

Rozita berkata, kemasukan keluaran pertanian termasuk haiwan peliharaan perlu mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan haiwan peliharaan yang masuk ke dalam negara bebas dari sebarang penyakit.