PADAWAN: Sorok syabu dalam tin biskut. Itu tindakan terdesak seorang tokan dadah bagi mengaburi aktiviti haramnya mengedar dadah bernilai RM185,000 daripada dikesan polis.

Namun kegiatan lelaki berusia 43 tahun itu terbongkar selepas rumahnya di Jalan Penrissen, di sini, diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, jam 2.30 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan, berkata dalam serbuan itu, suspek gagal melepaskan diri dan dia menunjukkan kawasan semak di luar rumah yang dijadikan tempat menyembunyikan dadah.

Katanya, dadah jenis syabu itu disorokkan dalam tin biskut yang kemudian diletakkan di bawah timbunan kayu dekat pokok kelapa.

“Ketika menggeledah tempat itu, satu tin biskut yang dilekatkan sekeping kertas timah pada penutupnya ditemui.

“Hasil pemeriksaan kemudian menemui enam plastik lutsinar berisi serbuk kristal dipercayai syabu seberat 919 gram,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Aidil berkata, suspek mengaku dadah dirampas adalah miliknya yang dibeli daripada seorang pengedar tempatan dan dia dipercayai mengedar dadah untuk penagih sekitar daerah itu.

“Suspek turut mengaku sudah terbabit kegiatan penyalahgunaan dadah sejak lima tahun lalu, malah semakan mendapati dia mempunyai rekod jenayah lampau berkait narkotik,” katanya.

Menurutnya, suspek akan direman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – berita harian