KUALA LUMPUR : Kerajaan dijangka meminda undang-undang drakonian, termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) pada sidang Dewan Rakyat di Parlimen, Mac tahun depan.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pindaan tersebut mungkin tidak sempat dilakukan pada sidang Parlimen kali ini.

Menurutnya, kertas pindaan masih belum selesai dan beberapa proses perlu dilakukan termasuk membawanya kepada perbincangan Kabinet sebelum dibawa ke Parlimen pada Mac depan.

“Jadi ada berapa perkara yang belum selesai, peringkat kementerian masih menunggu kalau ada pihak lain nak beri pandangan dan kalau selesai kita akan bawa balik kepada Kabinet. Selepas bawa ke Kabinet, kalau lulus baru kita bawa ke Parlimen.

“(Bila dijangka bawa ke Parlimen?) Saya fikir awal bulan Mac 2020, sesi yang akan datang,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Muhyiddin berkata, satu jawatankuasa juga telah dibentuk bagi meneliti peruntukan undang-undang SOSMA yang lama.

“Kita ada banyak sesi libat urus dan kerjasama dengan semua badan, badan guaman, Majlis Peguam, Suaram, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), orang awam, ahli akademik dan ada beberapa fasal supaya kita teliti dengan lebih mendalam.

“Terdapat cadangan supaya tempoh reman dalam akta sekarang 28 hari terlalu panjang dan perlu dikurangkan. Tapi di pihak berkuasa pula seperti polis, kalau isu melibatkan keganasan ia memerlukan masa lebih.

“Ada juga pandangan supaya dipendekkan kepada 14 hari. Untuk menyambung 14 hari lagi jadi 28 hari, ia mesti dibawa ke mahkamah, biar hakim putuskan bukan terus beri kuasa penuh kepada polis. Itu antara contoh-contoh cadangan yang dibuat,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kerajaan akan meminda undang-undang drakonian, termasuk SOSMA secepat mungkin.

Dr Mahathir berkata, pindaan itu yang sudah lama tertangguh perlu dilakukan kerana dibimbangi akan disalah guna.